Assalamualaikum WBT dan Selamat Sejahtera,

BERUSIA TAPI BERJASA​, begitulah titik sejarah Kolej Kediaman Keempat yang tidak jemu menongkah masa walau kian digugat usia. Kolej Kediaman Keempat, Universiti Malaya atau lebih dikenali dengan nama Kolej Kediaman Bestari telah berdiri teguh di atas bumi Universiti Malaya sejak bulan Ogos 1963 sehinggalah ke saat ini.​Tampuk pentadbiran kolej pada masa itu diterajui oleh Profesor A. A Sandosham dan kini di bawah pimpinan Prof. Madya Dr. Jal Zabdi Mohd Yusoff dan dibantu oleh 4 orang felo dan staf yang berpengalaman.
Selama lebih 51 tahun, nama Kolej Kediaman Keempat telah meniti dari bibir ke bibir seluruh warga kampus. Tidak hairanlah jika reputasi pelajar-pelajar kolej meningkat sejak dulu dan nama kolej gah berkumandang di seantero uniperdana​.​​​​Pada awalnya, Kolej Kediaman Keempat mempunyai tiga blok dengan penghuni lelakinya seramai 167 orang. Kemudiannya pada tahun 1971 satu bangunan tambahan telah dibina bagi meningkatkan pengambilan mahasiswa/mahasiswi. Sehingga kini Kolej Kediaman Keempat telah mempunyai empat blok bangunan iaitu tiga blok siswi dan satu blok siswa.

Kolej Kediaman Keempat telah mula mengukuhkan namanya di persada Universiti Malaya khususnya dalam pelbagai lapangan meliputi kesenian hingga ke sukan, bidang teknologi hingga ke soal ihsan kemanusiaan, serta kegiatan di dalam mahupun di luar kampus. Bukan itu sahaja malah kolej ini juga telah menganjurkan pelbagai projek yang gemilang seperti Pesta Pantun Keempat, dan banyak lagi yang menjadi kebanggaan kolej. Pelbagai projek yang lebih menjurus kepada integriti sebagai seorang mahasiswa telah dijalankan, seperti Pesta Pantun Bestari, Care 4 All, Projek Seminar Pendidikan Kebangsaan (PROSPEK) dan sebagainya. Namun yang lebih menjadi kebanggaan seluruh warga Kolej Kediaman Keempat ialah Malam Anugerah Keempat yang tetap kekal menjadi tradisi kolej selama-selamanya, bagi mengenang dan menghargai segala usaha mahasiswa dalam mengharumkan dan menaikkan nama kolej di dalam mahupun di luar Kolej Kediaman Keempat. 

Amat diharapkan, agar Kolej Kediaman Keempat dapat meneruskan kecenderungannya di dalam segala bidang, bersesuaian dengan etika kolej “Ilmu Hendaklah Tinggi, Hati Biarlah Rendah”.

Prof. Madya Dr. Jal Zabdi Mohd Yusoff
Pengetua
Kolej Kediaman Keempat
Universiti Malaya

 
 
 
 
Kolej Kediaman Keempat (Bestari) Universiti Malaya,
50603 Kuala Lumpur,
Malaysia.
Tel : (603) 7956 7591
Fax : (603) 7957 7269
Email : kolej4@um.edu.my
 
 
 
 
CCM 2.0 EDi - Copyright © 2008 - 2017 Pusat Teknologi Maklumat (PTM), University of Malaya, 50603 Kuala Lumpur, MALAYSIA. http://ict.um.edu.my